BACHOK: Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) termasuk yang tergendala hampir tujuh bulan lalu perlu siap sepenuhnya pada hujung 2027.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Nik Soh Yaacoub berkata, pihaknya juga berharap projek berkenaan siap sebelum temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung pada 2028 di Kelantan.
Katanya, projek yang tergendala itu melibatkan Pakej 2B Ketereh- Kok Lanas dan sudah mempunyai tender baharu yang diuruskan pihak syarikat kontraktor mengikut prosedur serta mengikut jadual ditetapkan selepas pemilikan tapak.
“Apa pun kita mahu projek tersebut siap pada hujung 2027, sebelum Sukma itu nanti. Kita akui baki kos projek yang tergendala itu berjumlah RM60 juta dan meningkat sebanyak RM13 juta iaitu dengan jumlah sekarang RM73 juta. Peningkatan jumlah itu kerana pertambahan kenaikan kos barangan,” katanya selepas Seminar Teknikal Kelantan Electrical Convention and Exhibition 2.0 (KeCeX) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan Projek KBKK dijangka dapat digunakan oleh orang ramai pada 2027.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga 29 Februari lalu, purata kemajuan setiap sub-pakej adalah 42.43 peratus berbanding 39.52 peratus dalam jadual.
Berhubung projek jalan di Taman Sri Bayu, Tumpat yang terjejas dengan banjir pada tahun lepas, Nik Soh berkata, ia juga sudah dalam pembinaan baharu.
Katanya, setakat ini kemajuan jalan sudah mencapai 22 peratus dan boleh dilalui sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Projek membaik pulih jalan itu bermula bulan lepas. Apa pun kita harap ia berjalan lancar dan boleh digunakan sepenuhnya sebelum sambutan Aidilfitri,” katanya.