GEORGE TOWN : Projek Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (Pakej 1) yang akan menjadi laluan alternatif menghubungkan Tanjong Bungah ke Teluk Bahang dijangka bermula 2026 dan siap sepenuhnya pada 2031 dengan kos pembinaan dianggarkan RM2.43 bilion.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bertujuan meningkatkan kelancaran trafik serta mengurangkan kesesakan di bahagian utara pulau.
Kon Yeow berkata, laluan sepanjang 10.61 kilometer (km) bagi Pakej 1 itu akan menjadi alternatif utama bagi pengguna jalan raya dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi di kawasan pesisir seperti Batu Ferringhi dan Teluk Bahang.
“Pakej 1 ini bukan sahaja mampu mengurangkan masa perjalanan dari 30 hingga 45 minit kepada hanya tujuh minit, malah, ia akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan pembangunan di sepanjang laluan pesisir pantai utara Pulau Pinang.
“Kos projek ini dianggarkan bernilai RM2.43 bilion manakala kos pengambilan tanah dianggarkan mencecah RM500 juta dengan jangkaan hanya sebuah kampung iaitu Kampung Mutiara di Batu Ferringhi akan terlibat dengan jajaran baharu ini.
“Kampung Mutiara pun sedang dalam pembangunan semula oleh UDA Holdings Bhd (UDA) dan pembangunan di kampung tersebut akan selari dengan pembangunan Pakej 1 ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, jajaran baharu projek ini telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mengelakkan kawasan kediaman padat di sekitar Jalan Chee Seng, Jalan Chan Siew Teong, Marvista, Beverly Hills dan kawasan sekitarnya.
Katanya, projek itu akan merangkumi dua segmen iaitu jalan utama sepanjang 8.41 km dan laluan pesisir pantai sepanjang 2.2 km yang akan melalui Masjid Terapung di Tanjong Bungah sebelum bersambung semula dengan laluan utama berhampiran Shamrock dan seterusnya ke Batu Ferringhi.
“Daripada segi pembiayaan, kerajaan negeri akan membiayai pembinaan sepanjang 4 km dari Tanjong Bungah ke Jalan Sungai Emas melalui kaedah pertukaran tanah kepada pihak pemaju, Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC).
“Manakala CZC akan menanggung kos bagi jajaran sepanjang 5.73km dari Jalan Sungai Emas ke Teluk Bahang melalui kaedah kontra pada pembangunan masa hadapan mereka di Pulau Pinang,” katanya yang memberitahu, reka bentuk terperinci projek itu dijangka mengambil masa enam bulan untuk dimuktamadkan sebelum kerja-kerja pembinaan bermula.
Tambahnya, pindaan terhadap Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) juga perlu dibuat untuk jajaran baharu itu yang dijangka mengambil masa 18 bulan, manakala laluan utama telah memperoleh kelulusan EIA.
“Selepas semua kelulusan diperoleh, kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2031,” katanya yang berharap, laluan Pakej 1 itu bukan sahaja akan membantu mengatasi kesesakan lalu lintas, tetapi juga memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Pulau Pinang. – UTUSAN