Projek ECRL: Set tren penumpang, kargo pertama akan tiba hujung tahun ini - Utusan Malaysia

Projek ECRL: Set tren penumpang, kargo pertama akan tiba hujung tahun ini

DARWIS ABDUL RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Satu set tren penumpang dan satu set tren kargo bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijangka tiba penghujung tahun ini.

Set tren penumpang dan set tren kargo itu merupakan antara 23 set tren yang akan ditempatkan di 16 buah stesen sepanjang jajaran ECRL Kota Bharu, Kelantan dan Terminal Bersepadu Gombak.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, set tren penumpang pertama daripada 11 set dan set kargo pertama membabitkan 12 set itu dijangka memulakan ujian dan pentauliahan pada Jun 2026.

“Kita akan terima satu set tren EMU (Electric Multiple Unit) bersama enam gerabak untuk membawa penumpang bersama satu unit Lokomotif Elektrik hujung tahun ini.

“Set-set selebihnya akan tiba pada pertengahan tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Laporan Impak Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi projek ECRL di tapak projek ECRL Seksyen 10 di sini hari ini.

Menjawab tentang kerja pemasangan landasan ECRL di negeri Pantai Timur, Darwis berkata, ia  akan selesai menjelang hujung tahun ini.

Ujarnya, pemasangan landasan sepanjang 400 kilometer (km) dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan sudah selesai pada 15 Januari lalu.

“Kerja pemasangan landasan selebihnya, iaitu 100 km antara Maran dan Bentong, akan dimulakan pada bulan April tahun ini dan dijangka selesai dalam masa tiga bulan,” katanya

Berkenaan terowong Genting pula, Darwis berkata, kerja penggalian sudah mencapai jarak 14.3 km sejak ia dimulakan pada Jun 2022 dan dijangka tembus pada Mei tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN