PETALING JAYA: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dikecam dan digelar sebagai pembuli dan samseng.
Pelakon lelaki ternama, Richard Gere, membuat kenyataan itu semasa menerima anugerah pencapaian seumur hidup kehormat di Anugerah Goya Akademi Sepanyol, semalam.
Gere meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap beberapa perubahan yang diperhatikannya di dunia di atas pentas di Palacio de Congresos de Granada pada malam itu.
“Saya melihat fahaman kesukuan yang sangat bodoh ini mula mengambil alih, di mana kita fikir kita semua terpisah antara satu sama lain.
“Malangnya, kita telah memilih pemimpin yang tidak memberi inspirasi kepada kita sebagaimana yang kita harapkan.
“Amerika kini berada dalam situasi yang sangat gelap, di mana kita mempunyai seorang pembuli dan samseng sebagai Presiden Amerika Syarikat. Tetapi ia bukan hanya berlaku di A.S., ia berlaku di mana-mana,” katanya.
Hadirin yang hadir pada malam anugerah itu memberi tepukan gemuruh terhadap ucapannya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada orang untuk sentiasa berwaspada dengan isu semasa.
Jelasnya, Amerika sedang mengalami masa yang gelap dan sudah tiba masanya untuk orang ramai bangkit.
“Kita mesti berwaspada terhadap gabungan gelap antara wang dan kuasa. Ia tidak bertanggungjawab dan merosakkan apabila jutawan menguasai Amerika Syarikat, (ini) adalah ancaman kepada seluruh planet.
“Badut jutawan yang mengelilingi Trump bersikap tidak matang dan narsistik, satu gabungan yang berbahaya,” tegasnya.