Polis tembak mati suspek lepaskan tembakan di Setia City Mall - Utusan Malaysia

Polis tembak mati suspek lepaskan tembakan di Setia City Mall

Konsert
HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menembak mati seorang penjenayah yang dipercayai suspek melepaskan tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam dekat sini pada 8 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Selangor di sebuah hotel di Pulau Ketam kira-kira  pukul 3 pagi tadi.

Katanya, sewaktu kejadian, berlaku insiden tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah terbabit.

“Polis berjaya menembak mati lelaki tempatan lingkungan umur 30-an. Turut ditemukan dua pucuk senjata api berisi peluru bersama suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes dadah dan tujuh samun.

“Kami percaya suspek ini terlibat dengan insiden menembak di pusat beli-belah, Setia City Mall baru-baru ini,” katanya.

8 Februari lalu, media melaporkan polis menerima maklumat pada pukul 10.50 malam daripada orang awam mengenai insiden tembakan di pusat membeli-belah tersebut.

Hussein dilapor berkata, siasatan mendapati mangsa, seorang pekerja pembersihan di pusat membeli-belah itu, sedang menyimpan peralatan pembersihan di Aras P1 bangunan apabila suspek tiba-tiba melepaskan empat das tembakan, mengenai kaki dan punggung mangsa.

Walaupun cedera, mangsa berjaya melarikan diri ke dalam pusat membeli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.

Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tingkap tangga dan pintu gelangsar di Aras P2.

Suspek bertindak melarikan diri dari pusat beli-belah tersebut dengan menahan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu oleh seorang pengunjung pusat membeli-belah dengan mengacukan senjata api dan memaksa pemandu membawanya keluar dari Shah Alam.

Bgaimanapun, ketika dalam perjalanan di lebuh raya, suspek mengarahkan pemandu berhenti di tepi jalan sebelum melarikan diri.

Susulan insiden tersebut, seorang lelaki telah tercedera akibat terkena tembakan di bahagian kaki, dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Kes disiasat Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan ketika melakukan kesalahan berjadual, yang memperuntukkan hukuman mati, serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN