KULAI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menyerbu sebuah kilang yang menjalankan aktiviti menyimpan dan memproses barang berjadual e-waste secara haram di Kampung Baru Sengkang, di sini, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam operasi pukul 8.15 pagi itu, pihaknya merampas pelbagai barangan e-waste yang dianggarkan bernilai lebih RM41.41 juta.
“Dalam serbuan itu, polis menahan masing-masing seorang lelaki warga tempatan China dan Bangladesh, sembilan lelaki Indonesia, dua lelaki Myanmar dan seorang wanita Indonesia yang semuanya berusia antara 20 hingga 49 tahun atas pelbagai kesalahan.
“Kilang memproses e-waste ini dipercayai beroperasi kira-kira tiga hingga empat bulan lalu, tetapi status lesen masih dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, PPM Wilayah Dua merampas barangan bernilai lebih RM41.41 juta membabitkan 348 guni plat timah, 612 guni bateri automotif dan automotif potong, 33 kotak dan palet berisi bateri automotif, dua unit alat kawalan pencemaran habuk serta ketuhar pembakar.
Turut dirampas sembilan guni sisa komponen elektronik, 13 tanki air bateri, 18 tan sisa buangan e-waste, 1,290 tan bateri, 696 tan timah, 13,000 liter air bateri dan peralatan memproses atau melebur e-waste.
Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, Op Taring Landai itu dilakukan hasil maklumat Unit Risik Marin dengan kolaborasi bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan, JAS Negeri Johor serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).