SHAH ALAM: Polis Selangor mencadangkan penganjur konsert meletakkan papan tanda ‘tidak kepada dadah’ sebagai salah satu syarat baharu dalam kelulusan permohonan permit bagi penganjuran aktiviti itu di negeri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu dikemukakan pihaknya kepada kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) awal bulan ini.
“Langkah itu bagi memperketatkan lagi syarat kepada penganjur mana-mana konsert kelak. Sebelum ini, perkara itu hanya ada di tiket iaitu tidak boleh mengambil dadah dan sebagainya.
“Namun, kita mencadangkan supaya papan tanda larangan dadah turut diletakkan di laluan masuk mengekang penggunaan dadah dalam konsert. Syarat-syarat akan diletakkan dalam permit dikeluarkan majlis tempatan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Utusan Malaysia pada 3 Januari lalu melaporkan Polis Selangor mencadangkan keperluan garis panduan baharu dalam sesuatu penganjuran konsert termasuk dari segi bilangan pengunjung mengikut keluasan tempat selain aspek keselamatan dari penjualan dadah serta pengudaraan.
Ia susulan kematian empat termasuk dua wanita berusia 20 hingga 40-an maut disyaki akibat pengambilan ekstasi selepas menghadiri konsert ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway, awal tahun ini.
Malah, laporan patologi mengesahkan punca kematian membabitkan tiga pengunjung di acara tersebut berpunca daripada pengambilan dadah jenis perangsang.
Tambah Hussein, pihaknya turut memberi taklimat kepada Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai siasatan kejadian itu.
“Kita juga ada cadangkan langkah-langkah tambahan kepada pihak penganjur konsert. Polis juga akan meningkatkan risikan dalam atau semasa konsert bagi tujuan mencecah pengambilan dadah ini,” ujarnya.
Katanya lagi, kesemua itu bukan untuk menghalang penganjurannya namun mahu memastikan ia lebih berhemah supaya tiada kejadian malang berulang di Selangor. – UTUSAN