Pokok sawit musnah ‘dilanyak’ gajah - Utusan Malaysia

Pokok sawit musnah ‘dilanyak’ gajah

ISMAYATIM Ahmad (kanan) bersama seorang pekerja ladang menunjukkan pokok sawit yang musnah akibat diceroboh kawanan gajah liar di Ladang Felcra Sri Galong di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sebanyak 230 daripada 780 batang pokok sawit berusia antara lima hingga sembilan tahun musnah dilanyak kawanan gajah liar di ladang Felcra Sri Galong di sini.

Dalam kejadian itu, kawanan gajah liar terdiri daripada 18 ekor turut memusnahkan pokok sawit yang baru ditanam seluas tujuh hektar di kawasan sama sejak awal bulan ini.

Pengurus Biro Hal Ehwal Ladang Sawit Felcra Sri Galong, Ismayatim Ahmad, 69, berkata, paling teruk kemusnahan berlaku dalam tempoh dua ming­gu sehingga semalam melibatkan tanaman yang sepatutnya menghasilkan kira-kira 20 tan metrik buah kelapa sawit.

“Kami mengalami kerugian kira-kira RM30,000 minggu ini apabila buah sawit rosak akibat ancaman kawanan gajah liar dan ini menjejaskan hasil yang sepatutnya diagihkan menerusi dividen kepada 60 peserta Felcra.

“Hal ini mengundang kebimbangan apabila kawanan gajah liar masih menceroboh masuk kira-kira pukul 11 malam menjelang ke awal pagi untuk makan umbut dan kemudian sebelah siang bersembunyi di hutan berdekatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Ismayatim, kawanan gajah liar itu kerap menceroboh tetapi tidak sete­ruk kejadian sejak dua minggu lalu sehingga sebahagian pokok sawit berusia antara lima hingga sembilan tahun di kawasan seluas 79 hektar mengalami kerosakan dan sebilangannya perlu ditanam semula.

“Saya bersama enam pekerja dan kontrak pengurusan ladang sawit ini hanya mampu berjaga malam sehingga ke awal pagi dengan memasang unggun api dan membakar mercun, tetapi tidak diendahkan oleh haiwan ini.

“Laporan kepada Felcra kawasan ini sudah dibuat supaya kejadian ini disampaikan pihak berwajib seterusnya dapat memantau dan menghalau kawanan gajah liar bagi mengelakkan kerosakan tanaman lebih luas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Peserta Felcra Sri Galong, Ahmad Rusdi Zainal, 61, berkata, jika gangguan gajah liar berterusan, peserta tidak memperoleh dividen hasil komoditi itu yang begitu diharapkan untuk per­belanjaan menjelang Ramadan.

“Langkah sewajarnya perlu dilakukan segera dengan memasang pagar elektrik dan menggali parit di kawasan sempadan berdekatan hutan untuk menghindarkan gajah masuk ke kawasan ladang di samping pemantauan pihak berwajib,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya