KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan Projek Infrastruktur Pengairan dan Saliran Pertanian di Kedah pada 27 Februari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek tersebut akan menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun yang menelan belanja sekitar RM1 bilion.
Kata beliau, ia merupakan bukti komitmen kerajaan dalam memastikan sektor padi negara terus berkembang dengan sokongan infrastruktur yang lebih moden dan Lestari.
“Dengan usaha ini, kerajaan bukan sahaja membantu petani mengurangkan kos pengairan tetapi juga memperukuh daya tahan sektor padi terhadap perubahan cuaca dan cabaran masa depan.
“Ini bukan sekadar pelaburan dalam infrastruktur tetapi pelaburan untuk kedaulatan makanan negara,” katanya di Dewan Rakyat semasa membuat menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Mohamad berkata, pembangunan infrastruktur pengairan sahaja tidak mencukupi jika tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk meneruskan industri tersebut.
“Di sinilah pentingnya untuk kita menarik lebih ramai anak muda untuk terlibat di dalam sektor pertanian,” jelasnya.