PKNS sah lepas tanah Broga kepada Trans Royal

PKNS sah lepas tanah Broga kepada Trans Royal

Tanah PKNS
AMIRUDIN Shari menyampaikan penggulungan perbahasan menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang DUN Selangor Ke-15, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengesahkan pelepasan tanah seluas kira-kira 403.4 hektar (997 ekar) oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Broga, Hulu Langat kepada tiga entiti termasuk penjualan kepada syarikat Trans Royal Sdn. Bhd. (Trans Royal) yang menawarkan harga RM224.5 juta.

Daripada keluasan itu juga sebanyak kira-kira 53.4 hektar (132 ekar) diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Selangor (31.16 hektar atau 77 ekar) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) (22.6 hektar atau 55 ekar).

Kemudian selebihnya kira-kira 363 hektar (897 ekar) diserahkan kepada Trans Royal yang menawarkan harga RM9.57 bagi sekaki persegi iaitu lebih tinggi berbanding RM9.29 sekaki persegi ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, justeru keluasan tanah boleh dibangunkan yang diperoleh Trans Royal adalah kira-kira 217.72 hektar (538 ekar) bersamaan dengan 23,435,280 kaki persegi.

“JPPH menetapkan, harga perkaki persegi adalah RM9.29. Sebab itu, untuk lebih adil saya maklumkan saya sendiri membangkitkan persoalan itu ketika ia dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan dan Kewangan yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim (bersara),” katanya ketika berucap pada penggulungan perbahasan menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.

Tambah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu, penjualan mengikut keluasan tersebut lebih menguntungkan berbanding ia dipecahkan kepada lot-lot lebih kecil.

“(Mesyuarat) Bersama dengan beberapa pegawai termasuk pegawai PKNS dan juga wakil daripada Kementerian Kewangan mengesahkan kalau kita jual dalam format yang seterusnya itu masih lagi merupakan keuntungan berbanding kita pecahkan,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perbahasan titah baginda membangkitkan tindakan penjualan tanah kepada syarikat tersebut yang didakwa berkeluasan 403.4 hektar.

ADUN Hulu Kelang itu mempersoalkan tawaran pertukaran yang diterima oleh kerajaan negeri berhubung pelepasan tanah tersebut dikatakan di bawah harga pasaran.

Bagaimanapun, Amirudin dalam penggulungannya menjelaskan jumlah sebenar diterima oleh Trans Royal adalah kira-kira 363 hektar termasuk 91.86 hektar (227 ekar) yang tidak boleh dibangunkan kerana ia tanah cerun kelas tiga dan empat namun tetap diserahkan.

“Kenapa kita serahkan kepada mereka sebab ia semua akan melibatkan penyelenggaraan, jadi kerajaan atau PKNS tidak akan menanggung kosnya, biarlah syarikat itu yang akan menanggungnya tetapi itu kawasan tidak boleh dibangunkan.

“Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) juga maklum, kita tak akan benarkan pembinaan di kelas tiga dan empat kerana untuk elakkan masalah tanah atau bangunan runtuh sebagaimana dahulu banyak berlaku di Bukit Antarabangsa,” tegasnya.

Kata Amirudin lagi, meskipun penjualan aset tersebut dilakukan, PKNS akan terus berkembang dengan peranan sebagai pemain utama dalam pembangunan pelabuhan ketiga di Klang.

“Dengan pelepasan 897 ekar itu, kemudian PKNS dipertanggungjawabkan untuk memiliki seabed ketika pembinaan. Seabed sahaja ada 2,000 ekar (809.3 hektar), kita sedang uruskan sekarang untuk tanah Yayasan Selangor kira-kira 1,500 ekar (607 hektar) di kawasan tersebut.

“Bermakna 3,500 ekar (1,416.4 hektar) bakal dimiliki oleh PKNS untuk pembinaan pelabuhan ketiga nanti dan ia boleh dijadikan bandar pelabuhan dan berkembang sebagai kawasan perindustrian dan sebagainya.

“Maknanya, dari segi perancangan rizab tanah PKNS bukanlah kita tak ganti balik, kita ada 2,000 (ekar) seabed yang akan dibangunkan, 20 peratus akan dipegang oleh PKNS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya