SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan pihaknya melaksanakan pencairan aset di Bukit Broga, Semenyih pada 2023 di bawah nilai pasaran semasa.
Malah proses pelupusan tanah berkenaan didakwa dilaksanakan secara telus dan berlandaskan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan kepentingan semua pihak terpelihara.
PKNS dalam satu kenyataan berkata, pencairan aset itu dilaksanakan tanpa sebarang kerugian, sejajar dengan nilai pasaran yang ditetapkan berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Menurutnya, pencairan tersebut dilakukan pada dua tahun lalu adalah kepada syarikat Sutera Maya Resources Sdn. Bhd. sebagai strategi jangka panjang anak syarikat kerajaan negeri itu memperkukuh perniagaan teras.
“Pelupusan tanah Broga ini turut merangkumi tanah yang tidak boleh dimajukan, termasuk kawasan Hutan Simpan, tanah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), kawasan cerun kritikal tahap tiga dan empat, serta kolam yang membataskan potensi pembangunan,” katanya, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan penjualan tanah seluas kira-kira 217.72 hektar (538 ekar) bersamaan dengan 23,435,280 kaki persegi oleh PKNS kepada syarikat Trans Royal Sdn. Bhd.
Pelupusan tersebut turut melibatkan tanah bercerun seluas kira-kira 363 hektar termasuk 91.86 hektar (227 ekar) yang tidak boleh dibangunkan kerana ia tanah cerun kelas tiga dan empat namun tetap diserahkan.
PKNS dalam kenyataan sama turut menafikan penjualan tanah tersebut merugikan syarikat kerana melibatkan pelupusan aset strategik.
“Sebaliknya, tanah tersebut bukanlah aset strategik untuk pembangunan disebabkan beberapa faktor utama yang membataskan potensinya.
“Selain itu, tanah ini juga berdepan isu pencerobohan dan kewujudan struktur binaan haram di atas tapak.
“Oleh itu, adalah tidak wajar untuk menganggap tanah Broga sebagai aset strategik, memandangkan pelbagai kekangan fizikal dan perundangan yang membelenggu tanah tersebut” jelasnya.
Selain itu PKNS turut memaklumkan sebagai sebuah badan berkanun, setiap transaksi pelupusan aset dilakukan dengan penuh ketelusan dan mematuhi prinsip tatakelola dan tadbir urus korporat yang baik.
“Setiap proses pelupusan aset dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan, melibatkan penilaian dan kelulusan yang telus serta berintegriti.
“Di samping itu, bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan, setiap transaksi pelupusan aset akan diaudit oleh Jabatan Audit Negara, selaras dengan prinsip pengurusan yang bertanggungjawab,” ujarnya. – UTUSAN