BACHOK: Taktik seorang lelaki menjadikan rumahnya di Kampung Rendang Gunong di sini sebagai stor penyimpanan pelbagai jenis mercun bernilai RM114,000 terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) kelmarin.
Dalam serbuan pukul 11 malam menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu PGA turut menahan suspek berusia 30 tahun untuk membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan di dalam rumah berkenaan telah menjumpai puluhan kotak mengandungi pelbagai jenis mercun.
Menurutnya, serbuan itu dijalankan selepas PGA mengesyaki suspek terlibat dengan pengedaran mercun.
“Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan pengedaran mercun daripada terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN