PGA rampas pelbagai jenis anak pokok, bunga RM2.05 juta - Utusan Malaysia

PGA rampas pelbagai jenis anak pokok, bunga RM2.05 juta

SEBAHAGIAN anak pokok yang dirampas oleh PGA di Rantau Panjang, Kelantan.-IHSAN PGA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis anak pokok buah-buahan dan bunga bernilai lebih RM2.05 juta sekali gus menggagalkan cubaan menyeludup barangan itu selepas menahan dua buah lori dalam serbuan berasingan di sini hari ini dan semalam.

Tangkapan dan rampasan pertama dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 9 pagi di kawasan Batu Karang selepas menahan sebuah lori dipandu dipandu lelaki berusia 33 tahun.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori itu membawa kepada penemuan
sebanyak 1,500 anak pokok buah durian Monthong, dokong dan petai bernilai RM800,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Lori tersebut dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa anggota PGA menjalankan tugas dalam Op Taring Wawasan Kelantan.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua tanaman itu disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, pemandu lori itu dipercayai berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup tanaman tersebut ke pasaran tempatan.

Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang di sini untuk tindakan lanjut.

Nik Ros Azhan berkata, dalam serbuan berasingan, PGA merampas 2,000 anak pokok bunga pelbagai jenis antaranya Willow, Lavender, Texas Sage dan Oleander bernilai RM1.25 juta selepas menahan sebuah lori dipandu lelaki berusia 37 tahun.

Katanya, lori tersebut ditahan di depan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 12.20 tengah malam tadi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua tanaman itu turut disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.

“Suspek dipercayai berperanan sebagai pengantar untuk membawa anak pokok bunga bernilai RM1.25 juta itu ke pasaran tempatan,” ujarnya.

Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya