Pesta Chingay Johor Bahru dicalonkan sebagai warisan dunia - Utusan Malaysia

Pesta Chingay Johor Bahru dicalonkan sebagai warisan dunia

TUNKU IDRIS Sultan Ibrahim (tengah) berkenan merasmikan Pesta Chingay Johor Bahru 2025 yang diadakan di pusat bandar raya Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pesta Chingay Johor Bahru yang memasuki usia lebih 150 tahun penganjurannya bakal dicalonkan sebagai Warisan Budaya Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Ho Sow Tong berkata, Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dalam menjadikan perkara itu suatu realiti dengan mencalonkan Pesta Chingay Johor Bahru bersama-sama dengan Chingay Singapura dan Chingay Pulau Pinang.

“Pesta Chingay Johor Bahru telah wujud lebih 150 tahun dan telah menjadi saksi ke atas perkembangan daerah Johor Bahru. Pesta ini bukan setakat menyambut hasil tuaian, malah mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama bangsa.

“Pesta ini juga telah diisytiharkan sebagai Warisan Budaya Kebangsaan pada tahun 2012 dan dikenali sebagai salah satu tarikan pelancongan di negeri Johor,” katanya pada acara kemuncak Pesta Chingay Johor Bahru 2025, di sini malam ini.

Penganjuran pesta itu pada tahun ini telah menarik kehadiran lebih 400,000 pengunjung dari dalam dan luar negara, sekali gus meningkatkan sektor pelancongan negara.

Pesta itu diraamikan Tunku Temeng­gong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.

Seorang pengunjung, Janice Koh, 34, mengakui telah mengunjungi pesta itu sejak kecil apabila dibawa ibu bapanya.

“Kini setelah berkahwin,  saya juga bawa dua orang anak untuk menyaksikan pesta ini. Perkara seperti ini perlu dipelihara generasi muda untuk memastikan ia kekal pada masa akan datang dan bagi rakyat Johor, pesta Chingay ini satu perayaan untuk menutup tirai sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Adam Haikal Mohd. 29, pula pertama kali menyaksikan Pesta Chingay setelah bertahun-tahun mendengar penganjurannya dalam media sosial.

“Ini kali pertama saya datang dan lihat sendiri, tidak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung tempatan serta luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya