SHAH ALAM: Syarikat-syarikat di negara ini boleh memohon untuk membuka Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya tidak meletakkan had berapa buah syarikat yang boleh memohon pembukaan pusat berkenaan di seluruh negara, seperti yang didakwa beberapa pihak.
“Apabila kita buka pasaran (syarikat lain untuk buka PPKM), kita padankan dan syaratkan kepada syarikat (untuk ikut keperluan ditetapkan) yang memohon untuk membuka pusat ini.
“Jadi jangan hendak main politik. Kalau dahulu masa monopoli (daripada Puspakom), pihak tersebut tidak ada cakap pun,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Exio Logistics Hub, hari ini.
Terdahulu, wujud dakwaan daripada beberapa pihak mengatakan kerajaan memberikan lesen operasi kepada tiga buah syarikat untuk membuka PPKM yang mana kesemuanya dipercayai baru ditubuhkan dan tidak mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan.
Bagaimanpun, Anthony Loke membidas dakwaan sedemikian dan memberitahu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) juga tidak mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan pada awal pelaksanaan dasar tersebut.
“Mengapa tidak ada soalan tanya dahulu Puspakom semasa ia ditubuhkan, yang mana Puspakom ada pengalaman tak (dalam memeriksa kenderaan).
“Jadi situasi sama seperti Puspakom ditubuhkan pada tahun 1994, dia tidak ada pengalaman. Pada waktu itu, pasaran PPKM ini tidak dibuka dan hanya dibuka oleh sebuah syarikat yang diberi konsesi oleh kerajaan,” tegasnya.
Katanya lagi, tiga syarikat berkenaan mendapat kontrak membuka PPKM oleh kerajaan, Anthony Loke berkata, tiada kontrak yang diberikan oleh kerajaan oleh kesemua syarikat ini, sebaliknya hanya diberikan kelulusan bersyarat.
Kesemua syarikat itu dikatakan perlu menyediakan pusat pemeriksaan kenderaan terlebih dahulu sebelum lesen untuk beroperasi diberikan kepada mereka untuk memulakan operasi PPKM.
“Kita bagi kelulusan bersyarat dua tahun kepada syarikat ini untuk menyediakan pusat ini. Selepas pusat ini siap, ia akan diperiksa terlebih dahulu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” jelasnya. – UTUSAN