MARANG: Ketibaan Ramadan bagaikan ‘durian runtuh’ bagi pengusaha air nira atau air tuak memandangkan permintaan terhadap minuman itu melonjak.
Seorang pengusaha air tuak di Kampung Batu Putih di sini, Long Muda Long Omar, 65, berkata, dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan sehingga ada ketikanya terpaksa menolak tempahan kerana bekalan terhad.
Katanya, sejak mengusahakan projek tersebut kira-kira enam tahun lalu, dia pernah memperoleh lebih RM10,000 hasil jualan air tuak dalam tempoh sebulan Ramadan.
“Permintaan air tuak ketika bulan puasa memang tinggi. Setakat ini sudah lima peraih atau pemborong tetap termasuk dari Kuantan, Pahang dan Negeri Sembilan membuat tempahan.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, permintaan diterima sepanjang bulan Ramadan sekitar 1,800 liter hingga 2,000 liter. Jumlah ini meningkat berbanding bulan biasa sekitar 1,000 hingga 1,200 liter.
“Saya sudah mula menyimpan stok bekalan untuk pemborong. Walaupun terdapat 130 pokok atas keluasan tanah kira-kira 0.8 hektar, ketika ini hanya lebih kurang 50 mayang pokok hasilkan manisan nira kelapa,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu Putih, di sini.
Menurut Long Muda, harga jualan air tuak adalah RM12 untuk 1.5 liter dan urus niaga dijalankannya sewaktu Ramadan lebih tertumpu kepada jualan secara borong dengan kadar harga berbeza.
Katanya yang tinggal di Kampung Gong Tepas, selepas solat Subuh dia terus ke kebun kelapa varieti Sungai Gulang-Gulang yang jaraknya kira-kira enam kilometer dari rumah untuk menyadat.
Menurutnya, dia mula memberikan tumpuan sepenuh masa terhadap penghasilan air tuak tiga tahun lalu selepas pencen dengan dibantu isterinya, Norma@ Noraliza Mat Reffin, 60.
Long Muda salah seorang peserta Projek Rancangan Tanah Berkelompok Kampung Batu Putih yang diusahakan kira-kira 100 peserta di bawah bimbingan Jabatan Pertanian.-UTUSAN.