Perluas Speed Selangor kepada sektor pertanian

Perluas Speed Selangor kepada sektor pertanian

Dasar Speed Selangor
DASAR Speed Selangor didakwa meminggirkan sektor pertanian sebagai sumber makanan yang terpaksa berdepan kerenah birokrasi di peringkat pihak berkuasa tempatan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dasar Speed Selangor yang mempercepat kelulusan perancangan industri kepada 14 hari berbanding tiga hingga enam bulan didakwa meminggirkan sektor pertanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri sepatutnya memperluas skop dasar sedemikian bagi mempercepatkan proses kelulusan tanah untuk pembinaan ladang dan infrastruktur berkaitan.

Menurutnya, ia penting bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang membebankan pengusaha sektor mikro, kecil dan sederhana luar bandar untuk membolehkan mereka beroperasi tanpa halangan pentadbiran yang tidak perlu.

“Kerajaan nnegeri perlu sedar sektor pertanian dan penternakan merupakan tulang belakang keterjaminan makanan negeri. Malangnya, ramai pengusaha mengadu mereka masih terikat dengan birokrasi yang berlebihan apabila cuba mendapatkan kebenaran merancang (KM) untuk beroperasi.

“Contohnya, penternak ayam di Permatang mengadu permmohonan mereka sering kali tersekat dalam proses yang berlarutan sehingga mengganggu pengeluaran hasil ternakan dan menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Selangor membuat semakan terhadap pelaksanaan dasar amalan baik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam pelan pusat sehenti (OSC) 3.0 PLUS bagi mempercepat pelbagai proses kelulusan termasuk urusan kemasukan pelabur.

Semakan tersebut termasuk menilai kelulusan kebenaran merancang (KM) yang sebelum ini mengambil masa antara tiga setengah hingga enam bulan dengan mempercepat proses tersebut kepada 14 hari bertepatan dengan dasar Lembah Klang Raya Selangor (SGKV).

Bagaimanapun, Nurul Syazwani yang juga Ketua Penerangan Srikandi Parti Bersatu menyambut baik dasar tersebut, namun ia tidak sepatutnya memberi layanan lebih kepada syarikat gergasi.

“Tiada pengumuman jelas mengenai cara inisiatif itu akan disesuaikan untuk sektor pertanian luar bandar. Sektor itu memerlukan proses yang lebih pantas dan berkesan terutama dalam menghadapi cabaran kos input yang meningkat dan kekurangan subsidi.

“Jika kerajaan negeri serius mahu menjadikan Selangor sebagai peneraju keterjaminan makanan negara, sektor pertanian dan penternakan tidak boleh dipinggirkan. Kemudahan untuk industri berat tidak boleh mengorbankan keperluan industri asas tani yang menjadi sumber makanan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya