REMBAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas dia merempuh belakang sebuah kereta yang mengubah lorong dalam kejadian di Kilometer 235.9, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi itu, mangsa, Mohd. Zulhamizi Bakri, 36, yang beralamat di Bukit Rambai, Melaka disahkan meninggal dunia di lokasi
Menurutnya, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda Fame yang ditunggangi mangsa dan kereta jenis Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 29 tahun.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di lokasi pemandu merasakan kereta dipandu sedang menghadapi masalah.
“Pemandu kereta mahu berhenti di lorong kecemasan untuk mendapatkan bantuan dari pihak Plus.
“Ketika sedang bergerak dari lorong kiri untuk ke lorong kecemasan, tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian belakang kereta tersebut,” katanya.
Ujar Shaik Abd. Kadar, akibat kemalangan berkenaan penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau, untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN