KUALA LUMPUR: Penubuhan koperasi di sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) adalah tertakluk kepada Akta Koperasi (Akta 502).
Menteri Pendidikan, Fadhilah Sidek berkata, penubuhan koperasi sekolah di sekolah rendah adalah tertakluk kepada syarat had umur dan kelayakan murid sekolah rendah untuk menjadi ahli koperasi sekolah.
“Berhubung penubuhan koperasi di sekolah rendah, perkara tersebut tidak selari dengan syarat kelayakan seperti yang dinyatakan dalam Bahagian IV, Seksyen 26 (b) (Akta 502) iaitu kelayakan bagi menjadi anggota dalam suatu koperasi asas, seseorang mesti seorang warganegara Malaysia yang telah mencapai umur lapan belas tahun.
“Atau, dalam hal suatu koperasi sekolah, telah mencapai umur dua belas tahun dan bermastautin atau bekerja atau mempunyai tanah dalam kawasan operasi koperasi asas itu atau dalam hal koperasi sekolah, menjadi penuntut berdaftar sekolah itu.
“Sehubungan dengan itu, penubuhan koperasi sekolah di sekolah rendah adalah tertakluk kepada syarat had umur dan kelayakan murid sekolah rendah untuk menjadi ahli koperasi sekolah. Walau bagaimanapun, sekolah ada menyediakan kedai buku bagi memenuhi keperluan murid di sekolah rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) meminta Menteri Pendidikan menyatakan adakah pihak KPM boleh membenarkan sekolah-sekolah rendah untuk menubuhkan koperasi seperti sekolah-sekolah menengah.