SUNGAI PETANI: Kenaikan harga santan sehingga mencecah RM18 sekilogram memberi kesan besar terhadap pengguna terutama mereka menggunakan bahan itu dalam kuantiti banyak untuk tujuan perniagaan.
Peniaga ketupat, Rosnani Musa, 61, dari Taman Kuda Kepang berkata, dia terpaksa membeli santan walaupun tidak kisah harga yang dikenakan penjual kerana ingin menjaga mutu dan rasa ketupat yang dibuatnya sejak 20 tahun lalu.
“Margin keuntungan menyusut banyak ekoran penggunaan santan yang dibeli mahal iaitu RM15 sekilogram sekarang berbanding dahulu RM13, tetapi saya harus guna santan segar.
“Saya pernah guna santan kotak tetapi banyak pelanggan ‘lari’ kerana ketupat yang dimakan tidak lemak dan tidak berminyak, jadi saya tiada pilihan guna santan segar walaupun terpaksa beli dengan harga RM15 sekilogram berbanding RM12 sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini melaporkan, para peniaga yang menjual santan di daerah ini tiada pilihan apabila terpaksa menaikkan harga bahan itu ekoran kenaikan harga kelapa secara mendadak sejak beberapa bulan lalu.
Tinjauan di beberapa pasar utama mendapati, peniaga perlu membayar RM3,500 bagi satu tan kelapa sejak awal tahun ini berbanding RM2,700 sekaligus memaksa mereka menjual santan dengan harga baharu.
Sementara itu, pengusaha kuih muih, Saleha Salleh, 48, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu berkata, kenaikan santan segar ketika ini memang membebankan.
“Saya membuat kuih yang menggunakan bahan asasnya santan seperti kuih lapis dan talam yang telah beberapa kali terpaksa menaikkan harga untuk menyerap kerugian.
“Namun sebaliknya pelanggan merungut menyebabkan jualan saya terjejas teruk walaupun saya beritahu mereka terpaksa menaikkan harga kerana memperoleh santan segar dengan harga tinggi,” katanya.