KUALA LUMPUR: Sisa elektronik (e-waste) yang melalui proses tidak terkawal di kilang-kilang haram boleh menyebabkan pelbagai risiko kesihatan kepada penduduk berhampiran termasuk kanser
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pelbagai bahan kimia boleh dilepaskan ketika proses peleburan e-waste termasuk logam berat seperti arsenik yang boleh menyebabkan kanser.
“Jika hasil sampingan kilang haram ini tidak disimpan dengan betul, ia boleh meresap ke dalam tanah dan mencemari air tanah atau sungai.
“Kami juga mendapati banyak kilang haram ini tidak mempunyai sistem penapisan corong asap yang betul,”katanya dalam sidang akhbar bersama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Azmi Abu Kassim di Bukit Aman di sini, hari ini.
Menurutnya, e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 sebagaimana dinyatakan di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Buangan e-waste daripada pemasangan elektrikal dan elektronik yang mengandungi komponen-komponen seperti akumulator, suis raksa, kaca daripada tiub sinar katod dan kaca teraktif atau kapasitor bifenil terpoliklorin yang lain atau yang dicemari dengan kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, litium, perak, mangan atau bifenil terpoliklorin.
“Selain itu peralatan elektrik dan elektronik yang telah tamat tempoh hayat, tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dilupuskan secara mesra alam di kemudahan-kemudahan yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 44 pemeriksaan dijalankan pihaknya ke atas kilang yang memproses e-waste secara haram, lapan diarahkan tutup manakala baki sedang dalam siasatan.-