PETALING JAYA: Pasukan Pengawal Sempadan (BGF) Myanmar sudah menyelamatkan lebih 200 mangsa buruh paksa dalam kes pemerdagangan manusia, termasuk 15 rakyat Malaysia di dua lokasi utama iaitu KK Garden dan Shwe Kokko di wilayah Myawaddy, Myanmar.
Namun, menurut Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), masih terdapat rakyat Malaysia yang terperangkap di Taicang, Yangon.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, Pegawai Konsular dari Kedutaan Malaysia, Marwan Mustafa Kamal ditugaskan untuk menguruskan koordinasi bagi membawa pulang mangsa.
“Pihak BGF telah menyelamatkan dan menyerahkan lebih 200 mangsa, termasuk lima rakyat Malaysia. Namun, sehingga hari ini, masih terdapat rakyat Malaysia yang terperangkap di Taicang, Yangon.
“Kita masih menerima aduan daripada keluarga mangsa yang menyatakan terdapat dua lagi rakyat Malaysia, seorang lelaki dan seorang wanita, yang masih berada di Taicang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Hishamuddin, tidak belum dapat dipastikan sama ada BGF akan memperluaskan operasi mereka ke Taicang bagi melumpuhkan sindiket pemerdagangan manusia yang masih beroperasi
“Kami berharap kerajaan Thailand dan Malaysia terus menekan pihak berkuasa Myanmar kerana data yang ada menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia terperangkap di Taicang City,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan kedutaan Besar Malaysia di Bangkok mengadakan lawatan konsular hari ini ke atas 15 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di
Myanmar dan kini ditempatkan di kem tentera Fort Vachiraprakan di Wilayah Tak, utara Thailand untuk menyediakan bantuan konsular diperlukan.
Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui, berkata 15 rakyat Malaysia berusia antara 21 hingga 68 tahun termasuk tiga wanita itu adalah antara 261 individu diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dan dihantar pulang ke Thailand pada Rabu lalu.
Beliau mengesahkan semua mangsa rakyat Malaysia terbabit berada dalam keadaan selamat.