JERANTUT: Seorang pemilik kedai nasi lemak terselamat daripada dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Inderapura 17, Bandar Inderapura di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, pemilik kedai mengalami kesakitan di bahagian bahu dan dirawat di Hospital Jerantut.
“Sebelum menghala ke kedai nasi lemak, Perodua Myvi itu turut merempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva milik pengusaha kedai makan itu yang diparkir di hadapan premis tersebut.
“Pemandu Perodua Myvi yang merupakan wanita berusia 22 tahun dipercayai mengalami sawan lalu hilang kawalan dan merempuh sebuah Perodua Viva, kemudiannya masuk ke dalam kedai berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Menurut Zukri, pemandu wanita terbabit cedera ringan dan dibawa ke Hospital Jerantut untuk pemeriksaan lanjut dan mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, ketika kejadian tiada pelanggan dalam kedai itu cuma peniaga nasi lemak, Wan Azmi Wan Ibrahim, 42, sedang berkemas peralatan dan bersiap untuk menutup premis itu. – UTUSAN