Pelajar aktif sukan meninggal dunia selepas merentas desa - Utusan Malaysia

Pelajar aktif sukan meninggal dunia selepas merentas desa

PELAJAR lelaki rebah dan tidak sedarkan diri selepas melepasi garisan penamat ketika menyertai larian merentas desa peringkat sekolah di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah, di sini meninggal dunia selepas rebah dipercayai ketika menyertai aktiviti merentas desa, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu, pelajar terbabit, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, 16, dikatakan telah berjaya menamatkan acara sejauh enam kilometer itu sebelum rebah tidak sedarkan diri sebaik melepasi garisan penamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pelajar itu menyertai acara merentas desa peringkat sekolah bersama pelajar lain.

“Sebaik tiba di garisan penamat di padang sekolah, pelajar terbabit yang dikenali sebagai seorang yang aktif bersukan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Guru bertugas bersama pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) kemudian membawanya ke khemah di situ dan memberikan bantuan pertolongan cemas, namun pelajar itu tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya di sini hari ini.

Katanya, guru terbabit terus menghubungi ambulans Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan ke HSAH, pelajar itu meninggal dunia.

“Hasil temu bual pihak polis dengan bapa mangsa mendapati anak mereka itu sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit dan merupakan pelajar aktif bersukan.

“Semakan pihak kita juga mendapati bapa mangsa memberi kebenaran bertulis membenarkan anaknya menyertai acara sukan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan awal pihak polis ke atas mayat pelajar berkenaan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat.

“Semakan lanjut terhadap rekod kesihatan mangsa turut mendapati pelajar itu tidak mempunyai sebarang rekod penyakit dan rawatan hospital. Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di HSAH dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya