ARAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang menambah kuota pengambilan mahasiswa yang menerima latihan Kor Sukarelawan Polis Siswa (SUKSIS) ke penjawatan kadet inspektor secara terus.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, buat masa ini, kuota pemilihan itu ditetapkan pada kadar lapan peratus dan jumlah itu dicadang ditingkatkan kepada 15 peratus selepas ini.
Beliau berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada kepimpinan tertinggi PDRM termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Kita cadangkan keutamaan ini diberi kepada Kor SUKSIS dan ditingkatkan kuota kepada 15 peratus memandangkan mereka ini telah mendapat pendedahan awal tentang aspek undang-undang, latihan kawat dan pelbagai lagi,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik Kor SUKSIS Universiti Awam Peringkat Kebangsaan Edisi 2.0 di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut dihadiri Razarudin dan Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim.
Wan Hassan berkata, PDRM juga bercadang menubuhkan sebuah jabatan baharu bagi mengatasi kes-kes berkaitan jenayah siber di negara ini.
“Calon yang kita akan pilih dalam jabatan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang seperti akauntan, forensik, kejuruteraan dan teknologi kecerdasan (AI).
“Kita juga akan cadangkan supaya Kor SUKSIS melalui proses pengambilan khas bagi menghargai usaha dan mereka juga telah didedahkan dengan ilmu perundangan kepolisan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, sehingga tahun ini, lebih 85 alumni universiti itu telah dipilih untuk berkhidmat bersama PDRM.
Beliau berkata, penubuhan Kor SUKSIS yang diasaskan sejak dua dekad lalu dilihat terus relevan dan menjadi aset penting dalam pembangunan sosial negara.-UTUSAN