PATI sembunyi dalam longkang, atas tembok elak dicekup

PATI sembunyi dalam longkang, atas tembok elak dicekup

PATI
MENYOROK atas tembok ruang niaga antara taktik dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengelak daripada dicekup oleh pihak berkuasa dalam serbuan bersepadu dekat Pasar Besar Klang, Meru, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Indonesia nekad bersembunyi dalam longkang yang dipenuhi dengan air sisa ikan bagi mengelak dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan dekat Pasar Besar Klang, Meru di sini, hari ini.

Lelaki yang dikenali sebagai Sahrial, 40, itu sanggup berbuat demikian kerana enggan ditahan sekali lagi dan mengakui permit pekerjaan dan dokumen perjalanannya sudah tamat tempoh kira-kira dua tahun lalu.

Dia yang bekerja di gerai ikan di pasar berkenaan berkata, pernah ditahan sebelum ini sekitar tahun 2005 hingga 2006 dan dipenjara selama sebulan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

“Memang tak selesa duduk dalam penjara ramai-ramai, sebab itu saya sanggup bersembunyi. Tetapi kena tahan juga, tak apalah, kalau kena hantar balik saya akur.

“Saya sudah bekerja di Malaysia sejak 2004 kemudian ditahan pada 2005 hingga 2006 sebab permit tamat tempoh dihantar pulang. Kemudian, pada 2006 majikan buatkan permit dan saya kembali bekerja di negara ini.

“Cuma pada dua tahun lalu, permit saya tamat sebab majikan enggan menguruskan pembaharuan permit dan mengarahkan saya melakukannya sendiri. Saya tidak tahu dan urusannya, sebab itu sampai sekarang tiada permit dan dalam tempoh itu (sejak 2022) juga saya tidak pernah balik kampung,” ujarnya.

Bapa dengan isteri dan dua anak yang berada di Indonesia itu ditahan bersama 630 warga asing diperiksa oleh JIM dalam operasi bersepadu yang disertai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam operasi tersebut kesemua ditahan terdiri daripada 530 dari Myanmar (Rohingya), 85 (Bangladesh), sembilan (Indonesia) termasuk dua wanita serta seorang dari Nepal.

Sementara itu, seorang warga Bangladesh bersama rakan serumahnya bernasib tidak baik apabila turut ditahan dalam serbuan tersebut ketika sedang membeli barangan dapur dimasak sebelum bekerja.

“Saya dan kawan cuma pergi ke pasar untuk beli sayur, ada terung, lobak. Kami ada permit dan bukannya bekerja di pasar. Sebaliknya kami sudah enam tahun bekerja dekat sebuah pasar raya di Batu Tiga. Tiba-tiba hari kena tahan, mujur kami bawa surat (salinan permit daripada majikan),” tuturnya.

Sementara itu, seorang warga Rohingya dari Myanmar memberitahu dia sudah bekerja di Pasar Besar Klang selama 13 tahun dan merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Saya sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak dan isteri tidak bekerja. Kami tinggal tidak jauh dari pasar. Ramai kawan-kawan saya, lebih 100 orang ada kad UNHCR bekerja di sini dengan pendapatan sekitar RM70 sehari dari pukul 4 pagi hingga 2 petang.

“Sebelum ini pernah kena tahan tetapi sebab ada kad UNHCR, saya dan kawan dibebaskan dan boleh kembali bekerja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya