SEREMBAN : Cadangan penubuhan Pasukan Tindakan Khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah merupakan mekanisme agensi itu dalam memantapkan penguatkuasaan dan tindakan terutamanya membabitkan kesalahan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara tersebut (tubuh pasukan tindakan khas) dibawah kuasa Ketua Pengarah JPJ, bagi memantau keberkesanan pengkuatkuasaan dibawah.
“Saya sokong sepenuhnya, kerana beliau bertanggungjawab agensi dibawahnya. Kalau apa-apa isu timbul dia kena jawab kepada kementerian kalau ada mekanisme sendiri dan tindakan. Itu memang dibawah JPJ dan saya tidak mencampuri kerana KP bebas melaksanakan pendekatan yang difikirkan rasa sesuai.
“Yang penting semangat kerjasama dan semangat saling mempercayai saya dan agensi supaya agensi dibawah kementerian, mereka diberikan kuasa dan sokongan untuk melaksanakan tugas hakiki.
” Jadi apa yang saya nak nanti adalah keberkesanannya. Ada pelaksanaan penguatkuasaan yang berkenaan, apa – apa isu kena jawab dengan kementerian termasuk cadangan penubuhan pasukan ini,”katanya dalam sidang media pada Majlis Hi Tea bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di Seremban di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 33 buah JPKK Parlimen Seremban dan 10 JPKK DUN Chennah melibatkan jumlah keseluruhan RM172, 000.
Anthony berkata, JPKK merupakan jentera penting diperingkat akar umbi dan sumbangan Ramadan yang diberikan ini membolehkan mereka melakukan aktiviti dan program sepanjang Ramadan nanti.