KLANG: Pasar awam dan pasar borong di seluruh negara antara lokasi titik panas yang menjadi tumpuan pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengesan keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Lokasi tersebut termasuklah di Pasar Borong Selangor, Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Besar Klang yang menjadi tumpuan warga asing sama ada mempunyai permit atau tiada untuk bekerja dengan kadar upah sehingga RM2,000 sebulan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dan serbuan secara berterusan di lokasi-lokasi berkenaan untuk memastikan kawasan tersebut menempatkan pekerja tempatan dan asing yang mempunyai permit pekerjaan sah.
“Sebenarnya pasar atau pasar borong memang di seluruh negara merupakan antara hotspot JIM kerana ia menjadi tumpuan kepada PATI dan juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
“Ia adalah sasaran JIM dan kita kerap kali melakukan operasi sama di tempat lain,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, beliau yakin kewujudan aktiviti alibaba ruang niaga atau lesen disewakan oleh penyewa tempatan pada warga asing pada kadar yang tinggi dan secara tidak langsung menyebabkan peningkatan harga barangan.
“Ia akan meningkatkan kos (harga) barangan apabila mereka membayar kadar sewa lebih tinggi, mereka perlu cover balik, mungkin itu salah satu daripada faktor masalah kenaikan harga barang.
“Bukan sahaja di Selangor, di seluruh negara, tempat-tempat sedemikian akan terus kami jalankan operasi,” tegasnya.
Selain itu, Jafri turut menjelaskan isu pemilikan kad UNHCR oleh warga asing terutama pelarian Rohingya yang dipercayai disalah guna oleh golongan tersebut menerusi perkahwinan supaya pasangan dan anak boleh memiliki dokumen sama.
“Ini selalunya berlaku apabila warga negara asing dari negara lain dan berkahwin dengan mereka yang memiliki kad UNHCR, apabila berkahwin, mereka akan pegang status itu dan sama untuk mendapatkan kad UNHCR untuk pasangan dan begitu juga untuk anak-anak mereka.
“Sebenarnya kalau ikutkan memang boleh memiliki kewarganegaraan asal mereka tetapi disebabkan suami atau bapa adalah pemegang kad UNHCR, maka satu keluarga mereka sama-sama memohon kad tersebut.
“Kad tersebut kita akan periksa dan kenal pasti. Kad itu sah, tetapi disebabkan oleh suami yang memiliki kad UNHCR jadi mereka pun akan memohon untuk memiliki kad yang sama,” ujarnya. – UTUSAN