Pasangan kekasih didakwa bunuh ibu kandung - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih didakwa bunuh ibu kandung

TERTUDUH, J. Ambrose (tengah) diringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang lelaki dan teman wanitanya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan membunuh ibu kandung kepada lelaki itu bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, J. Ambrose, 24, dan S. Litha, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu secara bersama didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap J. Virginie, 60, di sebuah rumah di Pangsapuri Seri Orkid, Bagan Ajam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 6.43 petang hingga 8.37 malam pada 31 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh kedua-dua tertuduh dan tiada jaminan ditawarkan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 14 April depan sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan, pasangan kekasih terbabit telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dalam kes pembunuhan ibu kandung lelaki terbabit.

Mangsa maut selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepala sebelum kedua-duanya ditahan di kediaman bapa lelaki terbabit di Paya Terubong, George Town.

Hasil semakan mendapati, lelaki itu turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pernah memukul ibu bapanya sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya