KUALA LUMPUR: Negara mengeluarkan sebanyak 386,512 tan getah asli pada 2024, menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, pengeluaran getah kering sebanyak 367,238 tan dan lateks sebanyak 19,274 tan.
“Bagi penggunaan industri hiliran tempatan dan pasaran eksport getah asli mencatatkan sebanyak 1,056,562 tan manakala penggunaan hiliran tempatan sebanyak 215,816 tan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta kementerian menjelaskan sasaran peningkatan pengeluaran lateks setiap tahun dan tahun-tahun seterusnya.
Foong Hin berkata, Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyasarkan 115,000 pekebun kecil getah dan lebih 300 estet di Semenanjung Malaysia menjalani pemeriksaan pematuhan MSNR sepenuhnya sebelum 30 Disember 2025.
“Sebagai persediaan, bermula 1 Julai 2024, LGM telah giat menjalankan pemeriksaan pematuhan MSNR terhadap pekebun kecil getah dan pemegang lesen LGM melalui kaedah bancian bersemuka serta pengumpulan maklumat lokasi kebun dan premis,” katanya. – UTUSAN