Papan pemuka pembanterasan rasuah perlu bersifat masa nyata

Papan pemuka pembanterasan rasuah perlu bersifat masa nyata

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Papan pemuka (dashboard) Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) perlu bersifat masa nyata (real-time), objektif dan boleh diaudit secara bebas.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, NACS boleh bertindak seperti papan pemuka Ketua Audit Negara (KAN) yang menyediakan laporan ketelusan mengenai prestasi kementerian dan agensi.

Ujarnya, NACS mesti memastikan setiap kementerian, jabatan, dan agensi kerajaan benar-benar bertanggungjawab terhadap pelaksanaan strategi itu. 

“Selain itu, bagi menjamin keberkesanannya, data yang dipaparkan hendaklah terperinci dan merangkumi metrik jelas mengenai tahap pelaksanaan dasar anti-rasuah, kejayaan intervensi, dan cabaran yang dihadapi.  

“Audit berkala dan bebas oleh pihak ketiga perlu dilaksanakan bagi memastikan maklumat yang disediakan tidak berat sebelah atau dikawal oleh pihak berkepentingan. Dalam pada itu, tindakan susulan dan penambahbaikan berdasarkan hasil pemantauan dashboard juga perlu digerakkan dan bukan sekadar sebagai paparan data tanpa tindakan,” katanya.

Pada 6 Februari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan papan pemuka yang membolehkan orang ramai memantau kemajuan NACS 2024-2028.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi inisiatif itu, orang ramai boleh memantau kemajuan setiap sub strategi di bawah tanggungjawab kesemua 19 ketua agensi peneraju NACS. 

Tambah Jais, komitmen politik yang kuat diperlukan bagi memastikan papan pemuka NACS tidak sekadar menjadi gimik pentadbiran.

Jelasnya, pimpinan tertinggi kerajaan dan sektor awam mesti menunjukkan kesungguhan dalam merealisasikan objektif NACS dengan menginstitusikan budaya ketelusan dan integriti dalam setiap peringkat pentadbiran.  

“Tindakan tegas terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada dasar-dasar NACS, termasuk pelaksanaan yang lemah, kelewatan, atau penyalahgunaan kuasa dalam proses pemantauan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya