KOTA BHARU: Polis Kelantan mengingatkan rakyat negeri ini yang mahu berkunjung atau melancong ke Selatan Thailand supaya memantau situasi semasa di negara berkenaan.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, langkah itu bagi menggelakan kejadian tidak diingini berlaku ke atas mereka.
“Sebelum ini dua rakyat Malaysia telah menjadi mangsa pengeboman di sana, walaupun tidak meragut nyawa namun kita yang berkunjung ke sana perlu sentiasa berwaspada.
“Pilihlah lokasi, ambil tahu situasi terkini di sana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, orang ramai yang berkunjung ke Thailand dinasihatkan supaya patuh kepada undang-undang negara berkenaan terutama semasa memandu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini, sesak apabila rakyat Malaysia mengambil peluang untuk bercuti ke Thailand sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, bas persiaran dan kenderaan mula masuk ke ICQS Rantau Panjang seawal 7 pagi.-UTUSAN