SHAH ALAM: ‘Sejurus insiden tembakan itu, saya segera membawa pengunjung ke laluan belakang kedai bagi menyelamatkan mereka.”
Demikian kata Muhammad Uyun Ridhwan Muhamad Yusri, 28, penyelia kedai peralatan senaman dan kecergasan di sebuah pusat beli belah di Setia Alam, di sini.
Menceritakan detik cemas itu, ketika kejadian dia mahu menutup operasi perniagaan premis berkenaan, kira-kira pukul 10 malam.
“Saya pada awalnya menyangka bunyi kuat didengari itu adalah barang terjatuh namun terkejut menyedari ia rupanya kejadian tembakan kurang 50 meter dari premis.
“Pada waktu itu, empat individu daripada sebuah keluarga memasuki kedai dan saya membawa mereka ke pintu belakang dalam keadaan panik,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pusat beli belah itu beroperasi seperti biasa dan dikunjungi orang ramai.
Bagi pekerja sebuah kiosk produk wangian, Aishah Ismail, 20, dia bergegas keluar menyelamatkan diri selepas menyedari kejadian tembakan itu.
“Saya ketika itu amat panik selepas melihat semua pengunjung menjerit dan bertempiaran lari. Insiden itu kali pertama berlaku sejak setahun saya bekerja dan mujur diri terselamat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pusat beli belah berkenaan disahkan selamat dan boleh beroperasi seperti biasa.
Terdahulu, polis mengesahkan lelaki yang melepaskan tembakan hingga mencederakan tukang cuci di pusat beli belah itu turut mengugut pengunjung lain untuk memandu keluar bagi meloloskan diri.
Suspek tempatan berusia 30-an itu kemudian meminta diturunkan di tepi jalan kawasan sebuah lebuhraya lalu menghilangkan diri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan siasatan mendapati suspek melepaskan empat das tembakan ke atas seorang tukang cuci berusia lewat 30-an yang mahu menyimpan peralatan mencuci di aras P1.
Mangsa yang cedera di kaki dan punggung kemudian melarikan diri dan masuk ke dalam pusat beli belah bagi mendapatkan bantuan, manakala suspek lari ke aras P2.
Suspek kemudian bertindak menahan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu seorang pengunjung dengan mengacu pistol dan memaksa membawanya keluar dari kawasan Shah Alam. – UTUSAN