Pajak heli: Penjelasan menteri mengelirukan - Pembangkang

Pajak heli: Penjelasan menteri mengelirukan – Ikmal Hisham

IKMAL HISHAM ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang terus membangkitkan persoalan mengenai keputusan kerajaan untuk memajak 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun bagi kegunaan pasukan keselamatan negara.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz menuntut agar kerajaan mengemukakan justifikasi lebih telus mengenai perjanjian pajakan ini dan perincian kos yang lebih terperinci bagi memastikan ketelusan dalam penggunaan dana awam.

Menurutnya, penjelasan yang diberikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempertahankan langkah kerajaan pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu itu ‘tidak benar sama sekali’.

Perbandingan yang dibuat oleh kerajaan terhadap kontrak ini dengan kos pembelian 32 buah helikopter jenis AW149 oleh kerajaan Poland tidak tepat.

“Perolehan Poland bernilai RM8.86 bilion bukan sahaja melibatkan pembelian helikopter tetapi juga merangkumi kos selenggara, alat ganti, pembinaan kilang pemasangan, pusat simulator latihan, pemasangan senjata, pemindahan teknologi, latihan juruterbang serta krew, pembangunan avionik pesawat dan jaminan naik taraf seumur hidup.

“Banyak lagi bukan sebagaimana naratif yang cuba dibawa oleh menteri pertahanan dalam mempertahankan berkaitan kontrak kerajaan Malaysia dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn Bhd.

“Apa yang lebih jelas lagi, kerajaan Poland membeli terus daripada syarikat pengeluar helikopter iaitu Leonardo manakala kontrak kerajaan Malaysia adalah perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn Bhd.

“Menteri pertahanan berulang kali mengulangi naratif bahawa kos pajakan 28 buah helikopter dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn Bhd ini menjimatkan wang mengambil kira kerajaan tidak perlu membelanjakan wang untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih (MRO) dan penyediaan alat-alat ganti bagi memastikan ketersediaan aset untuk kegunaan agensi keselamatan dan pertahanan,” katanya pada satu kenyataan, baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) turut menyuarakan kebimbangan nilai kontrak RM16 bilion itu terlalu tinggi berbanding kos pembelian 32 buah helikopter oleh Poland.

Dalam reaksinya, Khaled menjelaskan nilai kontrak tersebut merangkumi penyelenggaraan menyeluruh di dalam dan luar pangkalan, kos MRO, simpanan alat gantian, latihan serta kursus untuk kira-kira 1,300 juruterbang dan kru penerbangan.

Pun begitu, Ikmal yang juga bekas timbalan menteri pertahanan berpendapat kerajaan gagal memperincikan kos sebenar yang terlibat dalam kontrak Gocom (Government Operate, Company Own and Maintain).

“(Kerajaan) hanya melontarkan satu jumlah besar iaitu RM16.6 bilion,” katanya.

Ikmal turut membandingkan nilai kontrak tersebut dengan pengalaman kerajaan sebelum ini dalam menyewa helikopter model hampir sama, AW139 dan AW189 daripada syarikat Leonardo.

Menurutnya, analisis perbandingan harga bagi dua kes sewaan sedia ada bagi aset helikopter dengan varian hampir sama menunjukkan kos siling kontrak Gocom sepatutnya hanyalah sekitar RM8 hingga RM9 bilion, jauh lebih rendah berbanding nilai kontrak RM16.6 bilion yang dimeterai pada 19 Disember 2024.

“Jelas sekali kos siling atau implikasi maksima kontrak GOCOM sepatutnya hanyalah berjumlah RM8 ke RM9 bilion berbanding nilai kontrak yang dimeterai pada 19 Disember 2024 yang lalu.

“Rakyat perlu sedar bahawa margin keuntungan yang diambil oleh sebuah syarikat swasta yang hanya menjalankan peranan sebagai orang tengah adalah terlalu besar iaitu berjumlah sekali ganda. Jadi hujah ahli parlimen Larut selaku ketua pembangkang, pajakan ini terlampau tinggi dan mahal pada 4 Februari lalu di parlimen ada kebenarannya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN