KLUANG: Remaja perempuan yang dilaporkan tidak pulang selepas keluar rumah sejak seminggu lalu ditemukan di rumah seorang wanita warga emas di kaki Gunung Lambak, malam tadi.
Remaja itu ditemukan oleh seorang penduduk Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin dan menimbulkan persoalan bagaimana Nur Fakhira Dania Zahir, 14, boleh berada di rumah itu.
Ibu remaja berkenaan, Norita Kasmin, 47, penemuan kira-kira pukul 10 malam tadi dimaklumkan oleh adik ipar lelakinya sebelum anaknya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, selepas menerima maklumat daripada pihak polis, keluarga terus ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan bersyukur kerana anaknya dalam keadaan selamat sebelum dibawa pulang ke rumah.
“Walau bagaimanapun, anak masih enggan bercerita tentang kejadian sehingga dirinya hilang dalam tempoh seminggu dan ditemukan berada dalam rumah seorang wanita tua yang sudah bertongkat serta tidak dikenalinya itu.
“Dia juga dilihat dalam keadaan trauma serta tidak mahu bercakap banyak apabila disoal untuk mendapatkan kepastian tentang dirinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada masa ini anaknya tinggal bersama-sama keluarga bapa saudaranya bagi membolehkan kembali tenang sebelum dihantar untuk memulakan persekolahannya.
“Satu laporan turut dilakukan untuk pihak polis melakukan siasatan selanjutnya bagi membolehkan tindakan dilakukan terhadap orang yang melarikan anak saya itu,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan kehilangan Nur Fakhira Dania kira-kira pukul 10 malam, 12 Februari selepas dilihat menaiki sebuah kereta dipercayai Perodua Myvi berwarna hitam.