SUBANG: Industri logistik negara menerima lonjakan baharu dengan pelancaran perkhidmatan Ninja Cold oleh syarikat kurier Ninja Van Malaysia (Ninja Van), yang menawarkan kemudahan rantaian sejuk (cold chain facilities) berteknologi tinggi bagi menyokong penghantaran produk segar ke seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu bakal memberi manfaat besar kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta peniaga kecil.
Beliau berkata, ia khusus dalam pemasaran makanan, buah-buahan, makanan laut dan lain-lain produk yang memerlukan penyimpanan bersuhu terkawal.
“Dengan adanya perkhidmatan ini, barangan boleh dihantar terus kepada pengguna di seluruh negara, termasuk bagi pasaran rentas sempadan untuk tujuan eksport.
“Perkara ini sangat dialu-alukan dalam pasaran tempatan dan kita mengharapkan agar pemain-pemain industri logistik dapat terus berinovasi dan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Ninja Cold, di sini hari ini.
Anthony berkata, sebelum ini, perkhidmatan rantaian sejuk hanya tersedia untuk penghantaran berskala besar menggunakan lori khas, namun Ninja Cold membolehkan penghantaran dalam unit lebih kecil hingga ke peringkat pasaran dan perniagaan mikro.
“Ini satu inovasi yang mampu mengubah industri logistik negara. Kita berharap lebih banyak syarikat akan terus berinovasi dan menawarkan perkhidmatan lebih cekap,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van, Lin Zheng pula berkata, Ninja Cold merupakan perkhidmatan yang direka untuk memastikan penghantaran barangan sensitif suhu dengan selamat dan cekap.
Katanya, Ninja Van merupakan syarikat logistik tempatan pertama yang melancarkan penghantaran rantaian sejuk bagi E-Commerce.
“Sebagai syarikat logistik tempatan pertama yang menerima pensijilan ISO 23412, piawaian Jepun untuk pengendalian rantaian sejuk, kami ingin terus mengorak langkah sebagai peneraju dalam aspek kualiti, kebolehpercayaan, kecekapan kos dan fleksibiliti.
“Dengan Ninja Cold, kami akan mengembangkan perkhidmatan ke dalam segmen rantaian sejuk perniagaan ke pengguna (B2C) dan perniagaan ke perniagaan (B2B).
“Ia bagi menawarkan penyelesaian logistik menyeluruh, sesuai dengan industri yang memerlukan pengangkutan barang mudah rosak yang cekap,” katanya.