KUANTAN: “Saya sangka mangsa kenal pembunuh,” ujar seorang nelayan yang terkilan tidak menghalang mangsa pembunuhan, Norshamira Zakaria, 37, dari terus bertemu dengan suspek untuk menghantar barang niaganya di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada malam Rabu lalu.
Nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd., 40, berkata, dia sempat bertegur sapa dengan mangsa yang dilihat keluar daripada kereta dan berjalan kaki melintasi kedai makan tempat dia dan rakannya sedang minum.
“Saya tanya dia (mangsa) hendak ke mana. Dia kata hendak hantar barang, tapi saya cuba halang untuk pergi ke arah kawasan gelap.
“Saya beritahu dia untuk tunggu di kedai dan memanggil pelanggannya datang, sebaliknya mangsa beritahu sudah mengenali suspek dan terus menuju ke arah suspek sebaik melihat suspek memanggilnya dengan melambai menggunakan lampu telefon bimbit,” katanya ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian di sini hari ini.
Tambah Mohd., dia ada terdetik rasa kurang senang apabila memikirkan mangsa manghantar makanan terlalu lama namun tidak terfikir untuk mencarinya kerana beranggapan mangsa mungkin kenalan rapat suspek.
Beliau juga memberitahu, sekiranya mengetahui pelanggan itu adalah suspek, dia dan rakannya akan bertindak untuk menghalang mangsa daripada terus berjumpa suspek.
“Kalau saya tahu siapa suspek, saya tidak akan bagi jumpa dengan suspek, kalau hendak jumpa juga, saya akan teman, sebab suspek dikenali ‘bermasalah’ di kawasan ini,” katanya.
Ujarnya lagi, rata-rata nelayan yang tinggal di kawasan itu mengenali suspek kerana lelaki berkenaan dikatakan pernah menetap di kawasan ini sejak berpuluh tahun lalu.
“Tapi kami sudah lama tidak jumpa dia (suspek). Ada dalam dua tiga tahun tidak jumpa. Tapi sejak dua, tiga hari sebelum kejadian, dia secara tiba muncul semula di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, suspek kes pembunuhan yang berusia 53 tahun dibawa ke lokasi kejadian kira-kira pukul 2.30 petang hari ini bagi membantu siasatan dan mendapatkan bahan bukti.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner, Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek dibawa dengan menaiki kereta polis dan mengenakan pakaian lokap berwarna oren. – UTUSAN