MUIS perkenal bayar zakat guna kod QR - Utusan Malaysia

MUIS perkenal bayar zakat guna kod QR

YAHYA Hussin (tengah) semasa mengumumkan kadar zakat fitrah Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) memperkenalkan bayaran tanpa tunai menggunakan kod respons pantas (QR) di kesemua kaunter untuk membayar zakat fitrah mulai tahun ini.
Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, kaedah pembayaran tanpa tunai itu adalah antara pembaharuan yang diperkenalkan oleh pihaknya tahun ini.

Katanya, pada tahun ini MUIS menyasarkan pungutan zakat dan fitrah berjumlah RM155 juta yang membabitkan pungutan zakat fitrah berjumlah RM12.6 juta manakala, pungutan zakat harta disasarkan berjumlah RM142.4 juta.

“Kadar zakat fitrah di Sabah kekal RM7.50 sama seperti tahun lalu. Kadar itu adalah bersamaan harga satu gantang baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti penduduk negeri ini,” katanya semasa mengumumkan kadar zakat fitrah Sabah di sini, semalam.

Kutipan zakat fitrah di Sabah tahun lalu adalah RM12.09 juta daripada 1.61 juta pembayar iaitu meningkat seramai 5,269 orang atau 0.33 peratus berbanding 2023.

Yahya berkata, secara ke­se­luruhan kutipan zakat pada tahun lalu adalah sebanyak RM135.45 juta, termasuk zakat harta berjumlah RM122.36 juta.

Pada tahun lalu, MUIS telah mengagihkan zakat sebanyak RM147.2 juta kepada 114,044 orang asnaf manakala lebihan yang tidak sempat diagih pada hujung tahun lalu telah­pun mula diagihkan pada awal tahun ini.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan tahun ini, Bahagian Zakat Dan Fitrah, MUIS memperuntukan sebanyak RM19.6 juta untuk diagihkan kepada 55,000 orang asnaf, fakir dan mualaf sebagai persediaan untuk mereka menyambut hari raya.

“Sejumlah RM18 juta diperuntukkan kepada 12,409 orang asnaf, miskin dan mualaf bagi persiapan menyambut Syawal. Sebanyak RM1.6 juta pula diagihkan kepada 2,050 samil sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya