Melaka kekal status harga rumah terendah 2024

Melaka kekal status harga rumah terendah 2024

DASAR Perumahan Negeri Melaka menetapkan 50 peratus daripada setiap pembangunan perumahan melebihi 4.04 hektar perlu menyediakan RMM. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka mengekalkan status negeri yang menawarkan harga rumah paling rendah di Malaysia pada harga purata RM233,255 di peringkat nasional hingga suku kedua 2024 berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk Murad Husin berkata, ia disebabkan pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri Melaka yang menetapkan 50 peratus daripada setiap pembangunan perumahan melebihi 4.04 hektar (10 ekar) perlu menyediakan rumah mampu milik (RMM).

MURAD HUSIN

Menurutnya, selain itu kawalan harga yang dilaksanakan juga memberi kesan jangka panjang kepada harga rumah di negeri ini terus kekal rendah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“LPM meletakkan sasaran bilangan unit rumah yang perlu dibina berdasarkan kepada peratusan pemilikan rumah di negeri ini sebanyak 88 peratus menjelang 2030. Setakat ini, peratusan pemilikan rumah ketika ini sebanyak 84.5 peratus.

“Keperluan perumahan di negeri ini bagi tempoh 10 tahun (2020-2030) mengambil kira unjuran pertumbuhan penduduk, bilangan isi rumah, stok kediaman semasa dan peratusan pemilikan rumah.

“Kita menyasarkan pemilikan rumah menjelang 2030 sebanyak 88 peratus dengan unjuran bilangan isi rumah sebanyak 277,850 unit serta baki rumah yang perlu dibina sebanyak 41,907 unit di mana setiap tahun sasaran sebanyak 4,191 unit,” katanya.

Tambah Murad, LPM berada di landasan yang disasarkan kerana secara purata antara 2020 hingga 2024 sebanyak 4,258 unit rumah dibina berbanding sasaran 4,191 unit.

Menurutnya, data NAPIC menunjukkan stok perumahan sedia ada di negeri ini sehingga suku tahun kedua 2024 adalah sebanyak 217,303 unit.

“Daripada jumlah tersebut majoriti rumah yang dibangunkan adalah daripada jenis rumah teres setingkat sebanyak 75,945 unit, rumah teres dua ke tiga tingkat (42,092) dan rumah kos rendah serta flat kos rendah (37,415),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya