KUALA LUMPUR: Mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan bagi menggantikan mekanisme kutipan tol antara tumpuan Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) meminta Perdana Menteri menyatakan mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan sekiranya ia dilaksanakan dan jumlah penurunan kesesakan yang dijangka oleh kerajaan.
Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pula meminta Menteri Pendidikan menyatakan status penyediaan bank soalan berpusat yang setara standardnya oleh kementerian untuk membantu guru-guru dalam melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) termasuk menyediakan soalan bagi Ujian Akhir Sesi Akademik
Sementara itu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan inisiatif yang akan dilaksanakan dalam mengurangkan beban kos operasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berikutan kenaikan gaji minimum.
Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) pual meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan hasil jualan produk hiliran minyak sawit luar dan dalam negara bagi 2020 sehingga 2024 dan langkah-langkah yang telah diambil bagi memperluas produk hiliran minyak sawit.
Sidang dijangka diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) 2025 oleh Menteri Kewangan bagi bacaan kali kedua serta RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 oleh Perdana Menteri. – UTUSAN