MBSP bantu pulihara surau lama berusia 115 tahun - Utusan Malaysia

MBSP bantu pulihara surau lama berusia 115 tahun

SURAU Lama Kubang Semang yang terletak di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kini berusia 115 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Sebuah surau lama yang berusia lebih 100 tahun di sini kini dalam proses untuk dipulihara dan dibaik pulih bagi tatapan generasi akan datang.

Difahamkan, kerja-kerja pemuliharaan itu akan dilaksanakan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerusi Unit Warisan, Pelancongan, Seni dan Warisan yang ditubuhkan beberapa tahun lalu.

Setiausaha MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor berkata, surau itu yang lebih dikenali sebagai Surau Lama Kubang Semang atau Surau Tuan Guru Haji Mahmud Taib bin Haji Mahmud Ali merupakan salah satu daripada mercu tanda sejarah yang amat berharga khususnya di Seberang Perai.

Katanya, surau tersebut dibina oleh tukang kayu dan pengukir tersohor iaitu Haji Mahamed Sopian bin Haji Abdul Wahab pada tahun 1910.

“Surau ini bukan sahaja memiliki nilai seni bina tradisional Melayu yang unik tetapi juga menjadi pusat ibadah dan pengajian agama sejak sekian lama.

“Bagaimanapun, surau ini kini telah terbiar dan mengalami kemerosotan fizikal tanpa pemulihan yang sewajarnya.

“MBSP justeru turut melancarkan Sesi Outreach Pemuliharaan Warisan surau lama ini dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga khazanah warisan Islam dan budaya tempatan,” katanya semalam.

Sementara itu, Mohd. Ibrahim turut memuji peranan yang dimainkan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) yang mengambil inisiatif me­nganjurkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) demi menghidupkan kembali ‘zaman kegemilangan’ surau berkenaan.

“Dalam hal ini, saya berharap agar masyarakat setempat turut sama memainkan peranan secara aktif bagi membantu kerja-kerja memelihara serta memulihara Surau Lama Kubang Semang ini,” ujar beliau.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya