SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membelanjakan lebih RM15 juta dalam tempoh setahun untuk menyediakan kemudahan bas awam percuma kepada penduduk di 12 laluan di seluruh kawasannya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kini pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membelanjakan sebanyak RM5.5 juta lagi untuk membeli empat buah bas elektrik bagi laluan SA01 iaitu dari Seksyen 19 ke Seksyen 7.
Menurutnya, ia merupakan laluan pertama menggunakan bas elektrik berikutan terdapat permintaan tinggi bagi perkhidmatan kenderaan awam bagi laluan tersebut.
“Setakat ini laluan SA01, laluan dari sini sampai ke Seksyen 7 yang merupakan laluan paling banyak permintaan dan kita bermula sejak Disember 2024, bermakna sudah hampir dua bulan perkhidmatan bas elektrik di laluan SA01 itu dilaksanakan.
“Setakat ini baru satu laluan bas elektrik melibatkan empat bas yang dilaksanakan dan kita sedang menilai balik beberapa pertimbangan untuk menambah laluan-laluannya,” katanya ketika ditemui pada Perasmian Bas Elektrik Smart Selangor, hari ini.
Jelasnya, kerajaan negeri sedang melihat untuk memperluas laluan bagi penggunaan bas elektrik di kawasan Lembah Klang Raya (GKV) berdasarkan kemampuan kewangan oleh PBT di sana yang melibatkan Klang, Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.
“Sebab kalau kita dapat volume yang baik antaranya adalah dari kawasan di sekitar Lembah Klang Raya (GKV) di Klang, Shah Alam, Petaling dan Subang, ia juga akan dapat mungkin menurunkan sedikit kos yang perlu ditanggung untuk kita menggunakan perkhidmatan bas elektrik.
“Setakat ini, sehari daripada pertimbangan dan perkiraan, sehari penggunaan empat bas itu mampu mengurangkan penggunaan (pelepasan) 700 kilogram (kg) karbon dioksida berbanding menggunakan kenderaan diesel,” tambahnya.
Kata Amirudin lagi, kerajaan negeri akan mempertimbang pelbagai aspek dan sudut kos dan keberkesanannya sebelum memberi sebarang suntikan dana untuk menambah penggunaan bas elektrik di seluruh kawasan GKV.
“Kita lihat dahulu daripada pertimbangan dan perkiraannya, setakat ini kosnya lebih tinggi daripada sewaan bas diesel. Jadi, kalau kita tambah volume tentu kita tambah kawasan laluan, dan tempoh kontrak, saya rasa mungkin kita boleh dapat kos yang hampir sama dengan kos bas diesel.
“Kalau sampai tahap sama atau hampir sama, saya rasa kita boleh tukar bas di semua laluan kepada bas elektrik,” ujarnya. – UTUSAN