‘Mata-mata’ ditembak ketika bersarapan, hembus nafas terakhir dalam bot - Utusan Malaysia

‘Mata-mata’ ditembak ketika bersarapan, hembus nafas terakhir dalam bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang daripada ahli keluarga anggota polis yang gugur dalam pertempuran tragedi berdarah Bukit Kepong tidak dapat melupakan peristiwa bapanya ditembak komunis ketika bersarapan 75 tahun yang lalu.

Menurut Zaleha Ahmad, 71, anak kepada Allahyarham Ahmad Muhammad Jaafar, bapanya yang berkhidmat sebagai ‘mata-mata’ ditembak komunis di berek polis Bukit Kepong ketika bersarapan bersama keluarga.

“Ketika kejadian, saya masih lagi bayi berusia tiga bulan. Bapa, ibu dan kami tiga beradik bersarapan di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan.

“Ibu saya, Allahyarham Marian Ibrahim sering berkongsi kisah tragedi hitam itu dengan kami adik-beradik. Bapa saya membuka tingkap rumah dan terkena tembakan komunis di bahu sebelum rebah.

“Bapa saya sempat mengarahkan ibu sembunyikan kami adik beradik di dalam peti besi di berek polis tetapi tidak sempat kerana komunis sudah tercegat di depan pintu lalu lepaskan tembakan kepada bapa saya lagi. Peluru terkena perut ayah sehingga terburai,”katanya sayu.

Beliau ditemui pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong yang dirasmikan Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar hari ini.

Tambah Zaleha, pihak komunis kemudiannya meminta ibu saya membawa kami adik-beradik ke tepi sungai.

“Ibu yang mendukung abang saya yang ketika itu berusia tiga tahun diacukan senapang untuk dijadikan tebusan bagi memujuk tiga lagi anggota polis di balai polis untuk menyerah diri.

“Ibu saya kembali ke berek dan menarik ayah yang cedera ditembak ke tepi sungai. Saya dipangku oleh kakak yang berusia lima tahun.

“Selepas komunis masuk ke dalam hutan, bot digerakkan untuk bawa anggota polis yang cedera ke Hospital Muar melalui sungai. Ayah menghembuskan nafas terakhir di dalam bot,”kongsinya sebak.

Pada majlis itu, M. Kumar turut menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa tragedi berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN