KOTA KINABALU: Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 1,223 orang daripada 382 keluarga berbanding 1,034 mangsa yang dilaporkan petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan setakat 10 pagi, tiga daerah masih dilanda banjir manakala, pusat pemindahan banjir di Tambunan telah pun ditutup semalam.
Daerah yang paling ramai terjejas banjir adalah Beaufort dengan 689 orang mangsa daripada 227 keluarga dipindahkan ke PPK Dewan Selagon dan PPS Dewan Bisaya.
Sementara di Kinabatangan pula, seramai 282 orang mangsa daripada 72 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau dan SK Bukit Garam.
Jumlah mangsa yang terjejas banjir di Membakut pula adalah seramai 252 mangsa daripada 83 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut.
Pusat pemindahan banjir di Sabah mula dibuka sejak 4 Februari lalu susulan hujan berterusan yang turun di daerah-daerah yang terlibat.