KUALA LUMPUR: Malaysia tidak tersenarai dalam 14 negara yang dikenakan sekatan sementara terhadap penghantaran jemaah haji serta rombakan dasar visa secara besar-besaran, sekali gus menunjukkan kepercayaan tinggi kerajaan Arab Saudi terhadap sistem pengurusan haji negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu membuktikan rekod baik yang dicapai oleh Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji dalam menguruskan jemaah haji setiap tahun.
“Ini menunjukkan keyakinan kerajaan Arab Saudi terhadap kemampuan Malaysia dalam memastikan kelancaran perjalanan ibadah haji.
“Keputusan itu pastinya dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh dan penilaian ketat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan 25 Tan Kurma Sempena Ramadan di sini, semalam.
Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi mengumumkan perubahan dasar visa yang mengehadkan pengembara dari 14 negara kepada visa kemasukan tunggal bagi pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga bermula 1 Februari lalu.
Dasar itu akan menggantung visa berbilang kemasukan (MEV) satu tahun untuk Algeria, Bangladesh, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Sudan, Tunisia dan Yaman bagi mengawal kehadiran jemaah haji tanpa permit sah.
Tambah Mohd Na’im, kuota rasmi jemaah haji Malaysia bagi tahun ini kekal sebanyak 31,600 orang.
Jelasnya, kerajaan juga telah mengemukakan rayuan kepada Arab Saudi bagi mendapatkan 10,000 kuota tambahan. – UTUSAN