PETALING JAYA: Malaysia menyertai fasa kedua operasi Jambatan Udara Kemanusiaan ke Gaza diketuai Jordan, sekali gus menegaskan komitmen negara dalam usaha menyokong pemberian bantuan kepada rakyat Palestin.
Kementerian Luar berkata, penyertaan Malaysia dalam inisiatif itu dipermudahkan melalui Kedutaan Malaysia di Amman dan mendapat sokongan penuh kerajaan Jordan.
Delegasi Malaysia turut disambut oleh Komander Pangkalan Udara Raja Abdullah II, Osama Al Khatib dan Tentera Udara Diraja Jordan (RJAF) yang menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Malaysia dalam misi kemanusiaan Jordan.
“Ini susulan sumbangan Malaysia sebanyak AS$5 juta melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kepada kerajaan Jordan pada 18 Disember 2024, yang digunakan bagi operasi jambatan udara ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, Malaysia turut mengambil bahagian dalam fasa pertama operasi pada 28 Januari lalu.
Menurut Kementerian Luar, operasi yang diketuai Jordan dan diarahkan oleh Raja Abdullah II telah beroperasi sejak 28 Januari dan akan diteruskan sehingga hari ini.
Misi itu melibatkan 16 helikopter yang melakukan 16 penerbangan harian oleh RJAF dengan penyelarasan bersama negara-negara sahabat.
Operasi bertujuan untuk menghantar bantuan segera termasuk bekalan perubatan, makanan dan keperluan bayi, terus ke kawasan paling terjejas di Gaza.
Malaysia bersama Greece dan Itali merupakan antara negara terawal yang menyokong inisiatif terbabit dan lebih banyak negara dijangka menyertainya dalam tempoh terdekat.
“Malaysia kekal komited menyokong usaha Jordan dalam menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, yang berterusan sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023 dan tidak terhenti meskipun gencatan senjata diumumkan pada 15 Januari 2025,” katanya lagi.
Selain itu, Malaysia juga menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk penentuan nasib sendiri dan pembentukan negara Palestin yang merdeka, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Malaysia akan terus menyokong kebebasan, maruah dan keadilan rakyat Palestin di peringkat global,” katanya. – UTUSAN