KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara mencatatkan penurunan kadar kesuburan rendah selain menjadi isu global terutamanya dalam kalangan negara maju dan membangun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, data dikeluarkan Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP) menerusi 2024 ESCAP Population Data Insights, kebanyakan negara di Asia Pasifik kini mencatatkan Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) di bawah 2.1 kadar penggantian.
“Dalam tempoh 15 tahun ini, kadar tertinggi TFR di Malaysia dicatatkan pada 2011 dan 2012 iaitu 2.2.
“Sejak itu, negara kita menunjukkan trend TFR menurun. Walaubagaimanapun, kadar TFR Malaysia buat kali pertama dalam tempoh tersebut telah menunjukkan peningkatan 0.1 kepada 1.7 pada tahun 2023, berbanding TFR 1.6 pada tahun sebelumnya,” katanya menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat semalam.
Nancy berkata, terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan kadar TFR, antaranya faktor ekonomi dan cara gaya hidup yang boleh mempengaruhi keputusan seperti pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak dan sebagainya.
Pada masa yang sama, masalah ketidaksuburan turut boleh mempengaruhi kadar TFR. – UTUSAN