ARAU: Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus komited memperkukuh hubungan strategik bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tahun 2025.
Kolaborasi ini merupakan langkah penting dalam usaha memelihara kekayaan warisan budaya Perlis di samping merangsang pertumbuhan ekonomi melalui beberapa produk tempatan yang akan memanfaatkan masyarakat serta memperkukuh identiti budaya negeri.
Maklumat ini dipersembah maklumkan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam sesi sembah mengadap di Galeri Diraja Arau.
Pertemuan ini merupakan kunjungan hormat rasmi pertama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil yang dilantik pada 4 November 2024 yang lalu, serta Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Nizan Mat Noor yang memulakan tugas pada 15 November 2024.
Pada masa yang sama UiTM turut merancang untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan negeri dalam memperkenalkan serta mempromosikan produk-produk tempatan, seterusnya cuba memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin menasihatkan agar pihak UiTM Perlis terus mengeratkan hubungan dan memperbanyakkan lagi program bersama Persatuan Alumni dan alumninya.
Ini kerana Alumni merupakan sumber pendapatan, sumber wakaf dan sumber inspirasi kepada para pelajar semasa.
Alumni juga boleh bertindak sebagai duta UiTM Perlis kepada masyarakat luar.-UTUSAN