PADANG BESAR: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah untuk mencari najis kelawar di Gua Beringin Chuping, di sini, sejak semalam.
Kehilangan Kamardin Pin,61, disedari isterinya apabila warga emas tersebut tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 8 pagi ke gua berkenaan yang terletak di belakang rumah iaitu jarak sekitar 100 meter.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa yang dipercayai keluar ke gua tersebut dengan berjalan kaki bersama tali dan sebilah parang.
“Menerusi semakan, lelaki itu didapati bekerja sendiri dan telah hilang sewaktu keluar ke Gua Beringin yang terletak di belakang rumahnya,” katanya, di sini hari ini.
Mohd. Shokri berkata, usaha mencari mangsa giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian bersama penduduk setempat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Arau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Besar dan IPD Padang Besar.
Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan mangsa boleh menyalurkannya ke IPD Padang Besar menerusi talian hotline 04-9492222 atau terus berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Faizal Ali.-UTUSAN