TUMPAT: Taktik seorang lelaki warganegara Thailand menyorokan tiga ekor burung merbok bernilai RM6,000 di dalam timbunan beg pakaian di bahagian but kereta terbongkar selepas ditahan anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan pada 16 Februari lalu.
Lelaki berusia 50-an itu ditahan semasa melalui pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor.
Ketua Pintu Masuk MAQIS Pengkalan kubor, Mohd. Ariwadi Mohd. Salleh berkata, sejurus ditahan anggota bertugas telah menjalankan pemeriksaan di bahagian but kereta dan menjumpai sarang burung diperbuat daripada buluh.
Katanya, pemeriksaan lanjut di bawah timbunan beg pakaian membawa kepada penemuan burung hidup di dalam bekas kontainer plastik bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa.
“Semasa memeriksa dan mengangkat beg, anggota bertugas telah terdengar bunyi burung. Kita dapati unggas tersebut telah dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen sah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Ariwadi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta 728.
Katanya, tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah kedua-duanya sekali.-UTUSAN